Khamis, 12 Ogos 2010

Ahlan wasahlan, ya Ramadhan 1431H...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW

Pagi 1 Ramadhan 1431H. Termenung seketika mengenangkan amalan diri sepanjang 11 bulan yang lepas, seolah tiada perkara signifikan yang diri ini dah lakukan. Setelah membaca beberapa bab dari buku hasil penulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim (Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman), terasa diri terlalu kerdil. Siapalah aku di sisiNya.

Hati jadi sebak, air mata bergenang dan hampir tumpah... tapi cepat-cepat dilap dek jari-jemari.

Minda bertanya hati, "Kamu takut untuk menagis?"

Hati ini menjawab, "Tidak, bukan takut... tapi bimbang"

Minda kembali bertanya, "Bimbang?. Bimbangkankan apa?"

Hati dengan perlahan dan sayu membalas "Aku bimbang air mata ini air mata yang datang hasil kepura-puraan, bukan kerana aku benar-benar takutkan Penciptaku. Kenapa aku berkata begitu?, kerana dulu aku pernah menangis begini, tetapi aku masih berat dan malas melakukan perintahNya. Subhanallah, ampunilah dosaku ini".